MAC 2023

Uggah Puas Hati Perkembangan Projek Jambatan Batang Lupar 1


BETONG: Kerja-kerja pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 iaitu jambatan terpanjang merintangi sungai di negara ini yang berharga RM848.7 juta mengikut jadual.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang melawat ke tapak pembinaan jambatan itu dekat sini hari ini, menzahirkan rasa puas hati dengan perkembangan pembinaannya.

“Saya yakin kontraktor yang membina jambatan itu, Perbena Emas Sendirian Berhad berupaya menyiapkan jambatan itu lebih awal daripada jadual iaitu pada 7 Julai 2025.

“Syarikat itu bekerjasama dengan salah sebuah firma pembinaan terkemuka dari China iaitu China Railway Major Bridge Engineering Group Company Limited bagi membina projek jambatan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora sekarang menimbulkan satu lagi cabaran kepada kontraktor untuk membina jambatan sepanjang 4.8 kilometer (km) itu, kata Uggah.

“Tetapi saya berpuas hati dengan perkembangannya. Jambatan itu kini siap 16.59 peratus berbanding jadual 20.17 peratus.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan projek ini jika mengambil kira panjangnya, kos, spesifikasi lain serta cabaran yang ditempuhi,” katanya dan menambah, jika syarikat itu boleh mengambil lebih ramai pekerja dari China, kerja pembinaannya mungkin lebih cepat.

Terdahulu, Uggah diberi taklimat mengenai perkembangan projek itu oleh Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Ts Cassidy Morris dan Pengarah Eksekutif Perbena Emas, Helen Tang.

Helen Tang dalam taklimatnya memberitahu, satu lagi cabaran yang ditempuhi ialah kehadiran banyak buaya di sungai Batang Lupar sehingga menakutkan pekerja sungguhpun tiada insiden tidak diingini berlaku.

Uggah y ang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan ditemani oleh Setiausaha Tetap kementerian, Chiew Chew Yaw.

Mereka kemudian melawat ke tapak projek pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 dan Batang Saribas 2 dekat sini dan Uggah turut menzahirkan rasa puas hati dengan perkembangannya.

Jambatan Batang Saribas 1 sepanjang 1.55 km berharga RM375.5 juta disasarkan siap pada 22 Mei 2024.

Projek jambatan itu kini siapa 62.51 peratus berbanding jadual siap 61.61 peratus.

Manakala Jambatan Batang Saribas 2 berharga RM385 juta sepanjang 4.2 km dijadual siap pada 24 Mei 2025.

Jambatan itu kini siap 12.19 peratus berbanding jadual 11.22 peratus.

Bercakap kepada media kemudian, Uggah memberi jaminan kementeriannya dan JKR Sarawak akan terus memantau pelaksanaan projek yang diluluskan.

“Kita tetap tegas semasa memantau projek terbabit dan akan kerap turun di lapangan bagi memantau perkembangannya,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti